Tuesday 15 November 2011

KAEDAH PENYESUAIAN BAHAN BANTU MENGAJAR

Kanak-kanak sejak dilahirkan telah mewarisi asas-asas kecerdasan. Kecerdasan ini membolehkan mereka belajar dan menyesuaikan diri dengan alam sekeliling mereka. Asas-asas kecerdasan ini perlu diperkaya dengan alam sekeliling yang baik supaya ianya dapat berkembang dengan sebaik-baiknya. Biasanya, asas kecerdasan yang tinggi , jika dipengaruhi oleh alam sekeliling yang tidak memuaskan, maka sukar bagi kita untuk melahirkan perkembangan kecerdasan yang mencapai peringkat optimum. Walaupun kanak-kanak sewaktu lahirnya itu tidak mempunyai pengalaman tetapi semenjak saat  tersebut mereka sentiasa diserbui oleh pelbagai rangsangan daripada alam sekeliling mereka. Dengan asas-asas yang diwarisinya inilah dan dengan pertolongan pancaindera, mereka mula menganggap dan memproses rangsangan-rangsangan itu ke dalam sistem yang bermakna.
            Pembelajaran memerlukan rangsangan dan kecerdasan pemikiran. Rangsangan yang diterima daripada alam sekeliling menjadi bahan untuk diproses oleh kecerdasan dan yang kemudiannya akan lahir sebagai pengetahuan dan pengalaman. Sungguhpun rangsangan dalam alam sekeliling ini amat banyak tetapi tidak semua rangsangan itu dapat diterima atau ditanggapi oleh manusia. Rangsangan yang sukar ditanggap tidak akan dapat diproses dan tidak akan menjadi pengalaman. Oleh yang demikian, kecerdasan walau bagaimana baik pun ia, jika kurang mendapat rangsangan, ianya tidak akan menghasilkan perkembangan kecerdasan dan pengalaman yang berkesan.